Followers

Showing posts with label Madah. Show all posts
Showing posts with label Madah. Show all posts

Friday, 3 February 2012

Flying Without Wings

Assalamualaikum. Dan salam sejahtera pada yang membaca.


Entry ini ditulis semalam. 02-Feb-2012. Fikiran memikirkan menda ni dari pagi. Tapi malam baru berkesempatan menulis dan paginya dipublish. Waktu entry ini ditulis kan, tengah dengar lagu bertajuk sepertimana tajuk entry ini. Dalam tak sedar sebenarnya apa yang ingin disampaikan ini punya perkaitan yang sangat kena pada situasi tajuk cerita ini. 

Kekadang kan, kita jadi seorang yang berharap. Terutamanya bila kita mahukan 'semangat' dari mereka. Tapi apabila kita ibarat terbuang, kita merasa sedih. Ye lah kan, sebelum ini, kita tak putus dari sokongan mereka, tapi satu hari, bila satu tu, kita perlukan sokongan, kita gagal mendapatkannya. Masa ini kita kekadang cuba menuntut, dan semestinya la kita takkan dapat masa ni.

Lebih menyedihkan bila, kita berlegar-legar di sana sini, dan terjumpa tinggalan di sekeliling kita. Masa tu rasa semacam, ye lah kan. TERASA. walau sebenarnya ini bukan satu tindakan yang betul, sebab, kita berharap yang kita buat akan dihargai, tetapi, bila ianya seolah dipandang enteng aja, mulalah kita rasa sedih. 

Berharap. Sesuatu yang dah lama ditinggalkan sebenarnya. Belajar buat sesuatu yang adalah untuk diri sendiri. Macam mana lahirnya buah hati ni. Semalam sampai pukul 4 lebih dihabiskan bersama dengannya. Kemarin pun lebih kurang. Malah jika dirumuskan, semenjak 2 menjak ni, lewat sangat mengadap tilam sebab berbual-bual bersamanya. Hari ni, dengan 2 jam lebih ja tidur semalam, pun sama, belum dapat tidur lagi, sehinggalah kisah ini selesai dicatatkan, barulah bersedia untuk pergi.

Dalam hidup, menjadi angin tu adalah yang terbaik bukan? Datang menyapa, kemudian berlalu pergi. Hadir menyegarkan. Pergi tanpa dikesan. Itupun setelah melegakan yang sepatutnya. Jalan terbaik sebenarnya, bila kita belajar untuk tidak berharap pada sesiapa kerana dengan cara itu, hati dan perasaan diajar ikhlas untuk tidak mengharapkan balasan untuk apa-apa. Walau memang macam itu resam diri, tapi kekadang tu tercicir juga ke permukaan dunia, tewas, terutamanya pada yang diharapkan akan menjadi sayap yang membawa diri terbang mencapai langit.

Akhirnya, kenyataan mengajar untuk berterbangan tanpa sayap. Diri sebagai asas kekuatan sendiri, segala yang berlaku, yang dibuat untuk diri sendiri. Apabila tiba di langit, Mungkin susah untuk berpusing-pusing, berlegar-legar di awan sana, tapi tidak bererti tanpa sayap kita tak mampu terbang kan? Lebih baik dari bersayap tapi hilang di awangan. 

Apa pun, ALLAH itulah yang patut diharapkan sampai bila-bila. Dia tidak pernah mengecewakan. ;)

Friday Quote

Assalamualaikum. Dan salam sejahtera pada yang membaca.


"People are so in love with sunshine, cause they love the way it lights their life, but do they ever imagine bout the pain faced by it just to bring them the happiness?"



Nadh 
00:11am
3-Feb-2011

Thursday, 8 December 2011

Langkahku yang terhenti

Assalamualaikum. Dan salam sejahtera pada yang membaca.


Sendiriku disini. Diteman lautan yang sesayup mata memandang, juga angin bersepoi bahasa yang dari tadi menghempas tubuh. Deruan ombak bertemu pantai dari tadi menjadi irama penuh syahdu menemani diriku yang sedang asyik melayan perasaanku.

Tiap langkahku dipenuhi zikrullah, tapak kaki yang ku tinggal itu jejak yang membawa maksud langkah yang pernah aku lepasi dulu. Hati dari tadi bermonolog, sakan dengan berbagai persoalan, kenapa aku, kenapa aku yang terpilih? Kenapa aku bagai dihimpit tiap kali aku sudah punya yang lebih baik. Kenapa mesti aku?

Sesudah itu langkah ku hentikan seketika. Memerhatikan kembali laut yang seperti tidak akan jumpa hujungnya. Dari sana, kebiruannya, disambung dengan pemandangan awan memutih diatas tapak biru langit. Tika itu, satu suara seakan membisikkan kepadaku, "Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; “Kami telah beriman,” sedangkan mereka tidak diuji?" 

Dan aku tersedar dari lamunanku. Ku berpaling dan ku amati tiap langkah yang pernah ku jejak. Satu persatu ku perhati. Dari yang paling dalam dan paling jelas bentuknya, hinggakan yang paling kabur pandangannya. Lantas ku bermuhasabah, merenung kembali langkah aku selama ini, dari yang paling kuat kesannya (kegembiraan), hingga kesedihan yang tak penah berhenti dari menjengah setiap hela nafas. 

Tanpa sedar, aku tergelak sendiri. Dah sememangnya kita takkan kembali ke masa lepas, tapi tiap langkah dibelakang itu sebenarnya lah yang membawa kita ke hadapan, langkah belakang itu adalah butir-butir hidup yang buat langkah kita hari ini penuh makna. Tanpa kesedihan, aku tak mungkin belajar mengenali gembira, tanpa air mata, mana mungkin aku kenal erti jatuh bangun.

Aku bangkit berdiri. Jariku ku genggam. Dengan penuh semangat aku bangkit, kali ini, aku takkan rasa gusar lagi, masa kini dan hadapan akan kuhadapi walau apa jua yang menghalang. Hakikat sebenarnya tidak sukar sebenarnya. "Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya."

Wednesday, 7 December 2011

Hati yang ingin kuhabisi.

Assalamualaikum. Dan salam sejahtera pada yang membaca.

Saat menjejakkan kaki disana, sesampai sahaja, mata meliar memerhati, bukan sahaja kiri dan kanan, tapi atas dan bawah turut tidak terlepas dari pandangan. Lantas mata tertarik untuk berhenti di satu sudut, melihatkan ia terbuai-buai di situ. Kadang kala, dek hembusan sang angin, bergerak gerak sang buah di atas ranting paling hujung.

Keterujaan terhadapnya mengajak diri untuk meluru kesebelah pohon. Mata mencari-cari galah, mahu dikait ia turun kebawah, tapi tidak berjumpa walau sebatang pun. Lalu, ditunduk pula ke bumi, lantas dicari sama ada berjumpa batu atau apa sahaja untuk dilempar, juga hampa. Setelah lama merenung, kaki berganjak ke pohon. Di cari-cari batang paling kukuh, kemudian ditepuk tepuk batang sebelum kaki berani memanjat nya. Satu demi satu dahan di selak, daun yang menghalang pandangan ditolak tepi, dan akhirnya, buah ditemu dan dipulas, alhamdulillah berhasil, akhirnya dia menjadi milikku.

Kaki akhirnya menjejak ke tanah. Tanpa banyak soal, buah tadi digigit. "Ouchh masam". Lantas digigit lagi. Namun akhir sekali, ia dcampak, kerana rasa yang langsung tidak menepati pandangan tadi. Terjelepuklah buah di satu sudut, bergulingan dan bercampur pasir. Rosak dan kotor. Kemudian ditinggalkan.

Situasi sama dengan hati yang didamba. Semasa ingin kepadanya, lautan duri sanggup diredah, hujan api sanggup ditelan, pahit tidak terluah, manis tetap dikendong, namun pabila sudah tidak disuka, dibuang ditepi tanpa mahu menoleh lagi.

Kira diri tak ingin menghabisi buah yang dipetik, jangan ianya diambil. Saat ia mula turun dari sambutan si ranting, hanya 2 kemungkinan pasti, menjadi darah daging, atau membusuk dan diurai cacing. Pastikan lah hati yang dipetik cintanya dijaga penuh amanah, bukan dirosak dan ditinggal tanpa hemah. Kerana kita tidak tahu mungkin satu masa nanti, hati kita juga bakal diuji perihal sama, mungkin lebih teruk membusuknya atau lebih hina, terendam dalam saluran busuk penuh geli menghilang dan lenyap bersama kepedihan dan kesengsaraan.
Published with Blogger-droid v1.7.4

Buta+Pekak+Bisu=CINTA