Followers

Showing posts with label Madah Cinta. Show all posts
Showing posts with label Madah Cinta. Show all posts

Thursday, 8 December 2011

Langkahku yang terhenti

Assalamualaikum. Dan salam sejahtera pada yang membaca.


Sendiriku disini. Diteman lautan yang sesayup mata memandang, juga angin bersepoi bahasa yang dari tadi menghempas tubuh. Deruan ombak bertemu pantai dari tadi menjadi irama penuh syahdu menemani diriku yang sedang asyik melayan perasaanku.

Tiap langkahku dipenuhi zikrullah, tapak kaki yang ku tinggal itu jejak yang membawa maksud langkah yang pernah aku lepasi dulu. Hati dari tadi bermonolog, sakan dengan berbagai persoalan, kenapa aku, kenapa aku yang terpilih? Kenapa aku bagai dihimpit tiap kali aku sudah punya yang lebih baik. Kenapa mesti aku?

Sesudah itu langkah ku hentikan seketika. Memerhatikan kembali laut yang seperti tidak akan jumpa hujungnya. Dari sana, kebiruannya, disambung dengan pemandangan awan memutih diatas tapak biru langit. Tika itu, satu suara seakan membisikkan kepadaku, "Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; “Kami telah beriman,” sedangkan mereka tidak diuji?" 

Dan aku tersedar dari lamunanku. Ku berpaling dan ku amati tiap langkah yang pernah ku jejak. Satu persatu ku perhati. Dari yang paling dalam dan paling jelas bentuknya, hinggakan yang paling kabur pandangannya. Lantas ku bermuhasabah, merenung kembali langkah aku selama ini, dari yang paling kuat kesannya (kegembiraan), hingga kesedihan yang tak penah berhenti dari menjengah setiap hela nafas. 

Tanpa sedar, aku tergelak sendiri. Dah sememangnya kita takkan kembali ke masa lepas, tapi tiap langkah dibelakang itu sebenarnya lah yang membawa kita ke hadapan, langkah belakang itu adalah butir-butir hidup yang buat langkah kita hari ini penuh makna. Tanpa kesedihan, aku tak mungkin belajar mengenali gembira, tanpa air mata, mana mungkin aku kenal erti jatuh bangun.

Aku bangkit berdiri. Jariku ku genggam. Dengan penuh semangat aku bangkit, kali ini, aku takkan rasa gusar lagi, masa kini dan hadapan akan kuhadapi walau apa jua yang menghalang. Hakikat sebenarnya tidak sukar sebenarnya. "Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya."

Wednesday, 7 December 2011

Hati yang ingin kuhabisi.

Assalamualaikum. Dan salam sejahtera pada yang membaca.

Saat menjejakkan kaki disana, sesampai sahaja, mata meliar memerhati, bukan sahaja kiri dan kanan, tapi atas dan bawah turut tidak terlepas dari pandangan. Lantas mata tertarik untuk berhenti di satu sudut, melihatkan ia terbuai-buai di situ. Kadang kala, dek hembusan sang angin, bergerak gerak sang buah di atas ranting paling hujung.

Keterujaan terhadapnya mengajak diri untuk meluru kesebelah pohon. Mata mencari-cari galah, mahu dikait ia turun kebawah, tapi tidak berjumpa walau sebatang pun. Lalu, ditunduk pula ke bumi, lantas dicari sama ada berjumpa batu atau apa sahaja untuk dilempar, juga hampa. Setelah lama merenung, kaki berganjak ke pohon. Di cari-cari batang paling kukuh, kemudian ditepuk tepuk batang sebelum kaki berani memanjat nya. Satu demi satu dahan di selak, daun yang menghalang pandangan ditolak tepi, dan akhirnya, buah ditemu dan dipulas, alhamdulillah berhasil, akhirnya dia menjadi milikku.

Kaki akhirnya menjejak ke tanah. Tanpa banyak soal, buah tadi digigit. "Ouchh masam". Lantas digigit lagi. Namun akhir sekali, ia dcampak, kerana rasa yang langsung tidak menepati pandangan tadi. Terjelepuklah buah di satu sudut, bergulingan dan bercampur pasir. Rosak dan kotor. Kemudian ditinggalkan.

Situasi sama dengan hati yang didamba. Semasa ingin kepadanya, lautan duri sanggup diredah, hujan api sanggup ditelan, pahit tidak terluah, manis tetap dikendong, namun pabila sudah tidak disuka, dibuang ditepi tanpa mahu menoleh lagi.

Kira diri tak ingin menghabisi buah yang dipetik, jangan ianya diambil. Saat ia mula turun dari sambutan si ranting, hanya 2 kemungkinan pasti, menjadi darah daging, atau membusuk dan diurai cacing. Pastikan lah hati yang dipetik cintanya dijaga penuh amanah, bukan dirosak dan ditinggal tanpa hemah. Kerana kita tidak tahu mungkin satu masa nanti, hati kita juga bakal diuji perihal sama, mungkin lebih teruk membusuknya atau lebih hina, terendam dalam saluran busuk penuh geli menghilang dan lenyap bersama kepedihan dan kesengsaraan.
Published with Blogger-droid v1.7.4

Buta+Pekak+Bisu=CINTA